Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sibu telah dirasmikan penubuhannya pada 19 Oktober 1989 bertempat di Dewan Suarah Sibu. Upacara Perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi PERKIM bahagian Sarawak, Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Puan Sri (Dr.) Hajah Laila Taib.
Memandangkan pertubuhan ini belum mempunyai pejabat yang tetap, pengerusi PERKIM ketika itu iaitu Cik Hajah Sh. Aminah Syed Junaidi atas izin bonda beliau iaitu Pemanca Hajah Sharifah Rehanah Tuanku Haji Razali telah bersetuju supaya rumah kediaman mereka di No. 56. Jalan Kampung Dato Sibu dijadikan pusat aktiviti PERKIM Cawangan Sibu.
Setelah hampir 3 tahun penubuhannya, pejabat dan pusat aktiviti PERKIM cawangan Sibu telah dipindahkan pula ke Bangunan PBB Jalan Bandong Sibu pada tahun 1992. Cadangan untuk berpindah ke bangunan PBB ini telah dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa ketika itu memandangkan jumlah ahli dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan memerlukan tempat yang lebih besar dan lebih sesuai untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang semakin mendapat sambutan daripada ahli-ahli dan juga masyarakat setempat. Kadar bayaran (sewa) yang dikenakan oleh pihak PBB adalah sebanyak RM300.00 setahun.
Meskipun bangunan PBB dianggap sesuai untuk dijadikan pusat aktiviti PERKIM Cawangan Sibu, namun disebabkan tiada ruang khas untuk dijadikan pejabat, urusan pentadbiran pejabat tidak dapat dilakukan di bangunan berkenaan. Masalah juga timbul apabila ada kalanya aktiviti atau kelas-kelas yang telah dijadualkan terpaksa ditunda disebabkan tarikh dan masa perlaksanaannya bertembung dengan program rasmi pihak parti PBB sendiri. Oleh yang demikian pada tahun 2001, Jawatankuasa PERKIM Cawangan Sibu mengemukakan permohonan kepada Residen Bahagian Sibu untuk mendapatkan sebuah Rumah Kediaman Kerajaan (kuarter) untuk dijadikan pejabat sementara.
Pada tahun 2003, berkat usaha semua pihak ahli jawatankuasa yang disokong oleh Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Puan Sri (Dr.) Hajah Laila Taib, Tuan Residen Bahagian Sibu telah bersetuju memperuntukkan secara sementara sebuah rumah kediaman kerajaan di No.1, Jalan Awang Ramli Amit Sibu sebagai rumah PERKIM Cawangan Sibu. Upacara perasmian rumah PERKIM Cawangan Sibu telah disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Puan Sri (Dr.) Hajah Laila Taib pada 20 April 2002. Dengan adanya pejabat sendiri, kini semua urusan pentadbiran dan sebahagian besar aktiviti PERKIM Cawangan Sibu telah dilaksanakan di rumah ini.
Ehsan dari Pejabat PERKIM Sibu.
1 comment:
Semoga Allah bersama Wanita Perkim Sibu Sentiasa. Amin.
Post a Comment