" Ya Allah ya Tuhan kami, limpahkanlah kepada kami (kemampuan) untuk mensyukuri nikmat-Mu, yang Engkau anugerahkan kepada kami dan kepada kedua ibu bapa kami, dan untuk beramal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah kami dengan rahmat kasih sayang-Mu ke dalam golongan para hamba-Mu yang soleh."
Tuesday, March 22, 2005
Sejarah Penubuhan PERKIM Cawangan Sibu
Memandangkan pertubuhan ini belum mempunyai pejabat yang tetap, pengerusi PERKIM ketika itu iaitu Cik Hajah Sh. Aminah Syed Junaidi atas izin bonda beliau iaitu Pemanca Hajah Sharifah Rehanah Tuanku Haji Razali telah bersetuju supaya rumah kediaman mereka di No. 56. Jalan Kampung Dato Sibu dijadikan pusat aktiviti PERKIM Cawangan Sibu.
Setelah hampir 3 tahun penubuhannya, pejabat dan pusat aktiviti PERKIM cawangan Sibu telah dipindahkan pula ke Bangunan PBB Jalan Bandong Sibu pada tahun 1992. Cadangan untuk berpindah ke bangunan PBB ini telah dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa ketika itu memandangkan jumlah ahli dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan memerlukan tempat yang lebih besar dan lebih sesuai untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang semakin mendapat sambutan daripada ahli-ahli dan juga masyarakat setempat. Kadar bayaran (sewa) yang dikenakan oleh pihak PBB adalah sebanyak RM300.00 setahun.
Meskipun bangunan PBB dianggap sesuai untuk dijadikan pusat aktiviti PERKIM Cawangan Sibu, namun disebabkan tiada ruang khas untuk dijadikan pejabat, urusan pentadbiran pejabat tidak dapat dilakukan di bangunan berkenaan. Masalah juga timbul apabila ada kalanya aktiviti atau kelas-kelas yang telah dijadualkan terpaksa ditunda disebabkan tarikh dan masa perlaksanaannya bertembung dengan program rasmi pihak parti PBB sendiri. Oleh yang demikian pada tahun 2001, Jawatankuasa PERKIM Cawangan Sibu mengemukakan permohonan kepada Residen Bahagian Sibu untuk mendapatkan sebuah Rumah Kediaman Kerajaan (kuarter) untuk dijadikan pejabat sementara.
Pada tahun 2003, berkat usaha semua pihak ahli jawatankuasa yang disokong oleh Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Puan Sri (Dr.) Hajah Laila Taib, Tuan Residen Bahagian Sibu telah bersetuju memperuntukkan secara sementara sebuah rumah kediaman kerajaan di No.1, Jalan Awang Ramli Amit Sibu sebagai rumah PERKIM Cawangan Sibu. Upacara perasmian rumah PERKIM Cawangan Sibu telah disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Puan Sri (Dr.) Hajah Laila Taib pada 20 April 2002. Dengan adanya pejabat sendiri, kini semua urusan pentadbiran dan sebahagian besar aktiviti PERKIM Cawangan Sibu telah dilaksanakan di rumah ini.
Ehsan dari Pejabat PERKIM Sibu.
Tujuan Penubuhan
(Perkara 5 Perlembagaan PERKIM )
1. Dakwah
Menjalankan dakwah Islamiah kepada orang-orang Islam dan Bukan Islam dengan cara positif dan berkesan.
2. Pelajaran
Memberi, mengadakan, mengurus dan menjalankan pelajaran dan pendidikan Agama Islam menerusi segala media dan dengan segala jalan yang sah di sisi undang-undang.
3. Kebajikan
Menjalankan semua kerja kebajikan termasuk memberi bantuan, derma biasiswa atau dermasiswa kepada yang berkelayakan dan menjalankan lain-lain amal jariah kepada yang sakit, miskin susah dan daif.
4. Kerjasama Dalam Bidang Agama
Menubuhkan perantaraan dan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan Islam lain.
5. Lain-lain
Menjalankan kegiatan-kegiatan lain demi kepentingan dan kemajuan agama Islam.
(Ehsan dari Pejabat PERKIM Cawangan Sibu)
Rumah PERKIM Cawangan Sibu
Rumah PERKIM Cawangan Sibu Yang Pertama (19 Oktober 1989 hingga 1992). Rumah ini merupakan rumah kediaman mantan Pemanca Daerah Sibu, Allahyarhamah Datuk Paduka Hajah Sharifah Rehanah Tuanku Hj. Razali yang terletak di No. 56, Jalan Kampung Dato Sibu.
Rumah PERKIM Cawangan Sibu Yang Kedua (1992 hingga 20 April 2002). PERKIM Cawangan Sibu melaksanakan aktiviti-aktiviti yang semakin mendapat sambutan daripada masyarakat setempat di bangunan PBB Jalan Bandong Sibu.
Rumah PERKIM Cawangan Sibu Yang Ketiga (Dirasmikan pada 20 April 2002 dan digunakan hingga sekarang). Rumah Kediaman Kerajaan di No.1 Jalan Awang Ramli Amit yang telah diperuntukkan secara sementara oleh Pejabat Residen Bahagian Sibu untuk dijadikan pejabat dan pusat aktiviti PERKIM Cawangan Sibu.
Ehsan dari Pejabat PERKIM Cawangan Sibu
PENUBUHAN dan TUJUAN
( P E R K I M )
Pertubuhan Kebajikan Islam Se Malaya
atau
All Malaya Muslim Welfare Organisation
adalah dinamakan
PERTUBUHAN KEBAJIKAN ISLAM MALAYSIA
Yang diringkaskan dan disebut sebagai
P E R K I M
(Penubuhan dan tujuannya dijelaskan dalam
Bab 1 Perlembagaan PERKIM. Perkara 1)
Ehsan dari Pejabat PERKIM, Cawangan Sibu.